Makanan Untuk Perkembangan Otak

Posted by Dr. Tengku Asmadi on Feb 05 2008 | Keibubapaan

Sumber Artikel : Anmum

SEBAGAI ibu bapa anda mungkin tertanya-tanya bagaimanakah pemakanan boleh membantu perkembangan otak anak anda. Oleh itu, perkara paling asas anda perlu tahu ialah selepas anak anda dilahirkan otaknya akan sibuk membina sistem ‘pendawaian’. Sistem ini membabitkan neuron (sel otak), gentian saraf (akson) dan penghubung di antara kedua-duanya (sinaps).

Sebagai contoh, jika anda bercakap dengan anak anda, otaknya akan menghantar isyarat kimia melalui neuron yang menyeberangi sinaps dan menyebabkan lebih banyak hubungan dibuat dengan neuron yang lain. Kelajuan maklumat ini disalurkan bergantung kepada penyalut khas neuron yang disebut mielin.

Proses membina hubungan ini (sinaptogenesis) penting untuk perkembangan otak anak. Ketika ini pemakanan mempunyai fungsi penting.

Apakah zat yang penting untuk otak anak? Ada beberapa zat penting perlu anda tahu. Antaranya;

Gangliosida (GA)

GA adalah sejenis komponen semula jadi yang ada dalam sel membran. Ia boleh menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan neuron. Ini menambahkan pembentukan sinaps di otak. Penambahan sinaps boleh meningkatkan keupayaan pembelajarannya. Ada kajian yang dibuat menunjukkan GA mungkin dapat meningkatkan keupayaan pembelajaran dan daya ingatan.

Asid sialik (SA)

Sejenis bahan yang membantu dalam perkembangan otak dan penghantaran maklumat. Ia komponen penting tisu-tisu otak. Sel membran otak kanak-kanak mengandungi 20 kali lebih banyak SA daripada sel membran yang lain dalam badan.

Penghantaran maklumat yang lebih cepat memberikan keupayaan pembelajaran yang baik. Kajian pada mamalia menunjukkan SA mempunyai kaitan dengan peningkatan daya pembelajaran. Susu ibu adalah sumber yang kaya dengan SA. Malah, sesetengah penyelidik percaya SA mempunyai kaitan dengan penambahan hubungan otak kanak-kanak.

DHA

Tubuh menggunakan DHA sebagai bahan binaan untuk pembentukan sinaps. DHA banyak tertumpu di dalam membran sinaps berbanding bahagian lain dalam badan. Lebih banyak sinaps menandakan peningkatan perkembangan otak dan pembelajaran yang lebih baik.

DHA juga membantu dalam penghantaran maklumat. Apabila maklumat (dalam bentuk isyarat elektrik) sampai pada satu sinaps, ia akan dibawa menyeberangi neuron yang seterusnya oleh bahan kimia yang dipanggil penghantar maklumat (neurotransmitter). Perubahan pada dinding membran membenarkan maklumat ini melalui neuron berikutnya.

DHA memudahkan perkara ini berlaku. Jika otak tidak menerima DHA yang cukup, keupayaan penghantaran maklumat akan menjadi lemah dan hubungan kurang dibina.

Dalam konteks susu ibu, DHA dan lemak lain di dalamnya menyumbang secara langsung pada perkembangan otak. Ini dilakukan dengan bahan-bahan yang betul untuk penghasilan mielin dan menyalutnya supaya laluan ini membawa maklumat lebih cepat. Justeru, ia membolehkan proses pembelajaran berlaku lebih baik.

Asid lemak Perlu (EFA)

Badan memerlukan EFA untuk tumbesaran yang sempurna. Selain itu, EFA merangsang perkembangan otak yang lebih baik kerana ia komponen penting sel membran. EFA tidak boleh dihasilkan oleh badan kerana ia mesti diperoleh daripada makanan yang diambil.

Zat besi (Iron)

Tahukah anda kekurangan zat besi dikaitkan dengan perubahan neurotransmitter dan perkembangan otak yang lewat. Ia juga membolehkan sel darah merah membawa oksigen sekali gus membantu membekalkan oksigen ke otak untuk perkembangannya. ~ sumber Anmum.

Idea & Tulisan Oleh :

Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad
Pengarah Urusan MAP Training & Consultancy Sdn Bhd
drasmadi@maptraining.com.my
http://www.motivasialihanpelajar.com