IMPIAN MENJADI PRIME BALLERINA
(Mohd Nazri Kadir)

Suatu hari ada seorang gadis yang begitu pandai dalam tarian balet yang telah mempelajari tarian balet sejak kanak-kanak hinggalah remajanya. Akhirnya, dia merasakan sudah tiba masanya untuk dia terlibat dalam bidang itu secara professional. Menjadi prime ballerina dan akhirnya membuka akademi baletnya sendiri. Itulah impiannya sejak kecil lagi.

Kebetulan, beberapa hari kemudian, ada sebuah rombongan balet datang membuat persembahan di bandarnya. Dia tidak mahu membuang masa lagi. Inilah masanya untuk dia menunjukkan bakatnya kepada kepada pemilik kumpulan balet yang juga merupakan seorang guru balet yang terkenal lagi dihormati.

Ketika saat yang sesuai, dia pergi ke belakang pentas dan menemui guru balet itu. Dia meluahkan hasratnya hatinya kepada guru balet itu yang sedang menulis sesuatu ke atas beberapa helai kertas.Gadis itu berkata “ Puan, saya ingin menjadi seorang prime ballerina tetapi saya tidak tahu sama ada saya mempunyai kebolehan untuk itu. Saya harap Puan dapat menilai saya sekarang!”

Guru tersebut berkata sambil tangannya masih mencatat sesuatu “Baiklah! Awak menarilah depan saya sekarang”.

Selepas dua minit, guru itu telah memintanya berhenti dari menari dan berkata “ Maaf, kamu tidak layak untuk menjdai seorang prime ballerina. Kamu tidak mempunyai kebolehan untuk itu”.

Kata-kata guru itu telah menghancurkan impiannya. Dia fikir tiada gunanya lagi dia menyimpan impian itu kerana seorang guru yang terkenal telah menilainya sebagai tiada kebolehan.Pintu hatinya benarbenar berjaya ditutup oleh kata-kata guru itu. Dia kemudian telah melenyapkan impiannya itu kerana terpengaruh dengan kata – kata guru itu. Kemudian dia mula meneruskan kehidupan macam biasa.

20 tahun kemudian, rombongan balet yang sama kembali membuat persembahan di bandarnya. Kerana masih minat pada balet,dia telah pergi menonton persembahan tersebut. Ketika hendak meninggalkan tempat persembahan, dia telah ternampak guru balet kumpulan tersebut yang sudah tua.

Dia menegur dan memberitahu bahawa mereka pernah berbicara tentang impiannya untuk menjadi prime ballerina 20 tahun yang lalu. Guru yang tua itu termenung seketika. Kemudian mengangguk kepala tanda ingatannya terhadap perempuan itu.

Perempuan itu mula bercerita apa yang berlaku selepas pertemuan itu. Beliau telah melenyapkan impiannya itu dan berkahwin. Sekarang dia mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang berjaya dan dia bekerja sebagai pengurus di kedai ayahnya. Guru itu memuji kebahagiaan hidupnya sekarang.

Namun perempuan itu tidak tersenyum. Sebaliknya bertanya “Hampir 20 tahun persoalan ini bermainmain di fikiran saya. Bagaimana Puan boleh menilai saya begitu cepat ketika itu?”.

Dengan selamba guru itu menjawab “ Sebenarnya saya tidak melihat sangat awak menari ketika itu.Saya sedang menyiapkan kerja saya dan itulah jawapan yang saya berikan pada semua orang yang mengganggu kerja saya”.

Perempuan itu terkejut dengan jawapan yang diberikan. “Puan tidak patut buat begitu. Puan telah menghancurkan impian saya selama-lamanya ketika itu. Kalau tidak, mesti sekarang saya dapat mengecapi kebahagiaan sebenar dan berjaya seperti yang diimpikan.

Guru itu sekali lagi menjawab dengan selamba, “ Saya langsung tidak bersetuju dengan kata-kata awak.Jikalau awak fikir awak memang berkebolehan, sudah pasti awak akan mengabaikan kata-kata saya walaupun saya seorang guru yang terkenal. Jalan impian awak terbuka lusa lagi ketika itu. Ingatlah, kita adalah apa yang kita fikirkan”